Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
BUKIT JALIL: Harapan Malaysia untuk meraih penamat terbaik di tempat ke 9 pada kempen Hoki Piala Dunia Remaja 2023 tidak kesampaian.
Perlawanan penentuan klasifikasi 9-12 menentang Belgium, skuad Young Tigers terpaksa akur, tewas menerusi penentuan ‘shootout’ 3-5 selepas mempamer semangat juang tinggi, bangkit dari ketinggalan untuk mengikat aksi sepenuh masa 2-2.
Aksi sengit berlangsung sejak dari awal lagi dengan Malaysia jelas berjaya mengimbangi lawan.
0-0 tamat suku pertama, kedua-dua pasukan terus saling berbalas serangan memasuki suku kedua permainan.
Sehinggalah pada minit ke 28, Belgium akhirnya berjaya memecah kebuntuan, gol menerusi jaringan padang Max Luyten.
Ditunda lebih 30 berikutan cuaca hujan lebat, Belgium kembali mengatur gerakan sebelum berjaya menggandakan jaringan pada minit ke 36.
Gol terhasil menerusi jaringan sudut penalti Hugo Labouchere untuk Belgium selesa mendahului 2-0.
Ia bagaimanapun hanya bertahan seminit apabila Malaysia berjaya mengurangkan defisit gol kepada 2-1 selepas Muhd Adam Ashraf Johari berjaya mencipta jaringan padang.
Asakan bertali arus terus dilancarkan Malaysia dengan peluang akhirnya menjelma apabila dihadiahkan pukulan penalti strok pada minit ke 51.
Peluang itu tidak dipersiakan Mohd Harris Iskandar Osman untuk kembali mengikat kedudukan 2-2.
Kekal sehingga tamat 60 minit permainan, bermakna pemenang terpaksa ditentukan menerusi pukulan ‘shootout’.
Terikat 3-3 pada satu ketika, kelebihan terus memihak Belgium sebaik Lucas Putters menjadikan kedudukan 4-3.
Sebaliknya Malaysia tambah tertekan selepas pukulan yang dilakukan Alfarico Lance Liau Jr. sedikit tersasar.
Dan Guillermo Hainaut muncul wira, menjaringkan gol kemenangan untuk Belgium mencatat keputusan 5-3.
Belgium mara ke penentuan klasifikasi 9/10, sementara Malaysia akan bermain penentuan klasifikasi 11/12, berdepan sama ada Afrika Selatan atau New Zealand Jumaat nanti.