Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Menjelang pembentangan Belanjawan 2025, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap, terdapat penambahan peruntukan untuk menaik taraf fasiliti sukan sedia ada terutama di peringkat komuniti.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, tumpuan kementerian adalah meningkatkan kebolehcapaian kemudahan sukan bagi memudahkan masyarakat untuk bersukan demi kesihatan sekali gus meningkatkan produktiviti mereka.
“Apa yang kami mahukan adalah rakyat Malaysia ada kesedaran bahawa sukan ini penting. Kalau semua rakyat mempunyai tabiat untuk bersukan bersama dan ini merupakan gaya hidup, kita akan kurang kos rawatan di Malaysia.
“Kita (akan) ada peruntukan lebih untuk pembangunan sukan yang lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2024, di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Jelasnya, pada tahun ini, KBS mewujudkan Program Senamrobik Komuniti di 43 Projek Perumahan Awam (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur secara percuma.
Selain itu, kelas renang percuma untuk kanak-kanak turut dianjurkan di kawasan hotspot kes lemas.
Mengulas lanjut, Hannah berharap inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan lalu bukan saja untuk sukan elit tetapi merangkumi program akar umbi, akan diteruskan pada tahun depan dengan peruntukan yang mencukupi.
Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat depan di Dewan Rakyat.
Dalam Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan di seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif.
HSN adalah sambutan nasional yang diadakan secara tahunan sejak tahun 2015 yang dijadualkan pada setiap Sabtu minggu kedua bulan Oktober.
HSN berhasrat membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat sukan menerusi amalan gaya hidup cergas dan sihat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.