ROM: Bekas bintang bola sepak Itali, Roberto Baggio mengalami kecederaan di bahagian kepala sehingga terpaksa dijahit selepas kepalanya dipukul akibat dirompak ketika menyaksikan Euro 2024 bersama keluarganya di rumah.
Pemenang Ballon d’Or 1993 berusia 57 tahun itu sedang menyaksikan aksi Itali-Sepanyol apabila lima individu bersenjata memecah masuk rumahnya di Vicenza, timur laut Itali.
Baggio yang dikenali sebagai ‘Divine Ponytail’ dalam kalangan penyokong ketika zaman kegemilangannya cuba menghalang rompakan itu, namun seorang penceroboh memukul dahinya menggunakan pistol.
Dia dan keluarganya kemudian dikunci dalam sebuah bilik sebelum penceroboh itu menggeledah rumah untuk mencari wang serta barang kemas.
Rompakan itu berlangsung selama 40 minit dan Baggio terpaksa memecahkan pintu bilik sebelum menghubungi polis.
Dia dibawa ke hospital sebelum menerima rawatan membabitkan jahitan di dahinya.
Beraksi 56 kali bersama Itali, Baggio pernah mewakili Juventus, Inter Milan dan AC Milan serta memenangi dua gelaran Serie A dan Piala UEFA pada 1993.
Memainkan watak penting membawa Itali ke final Piala Dunia 1994, Itali bagaimanapun kempunan menjulang kejuaraan itu selepas Baggio gagal menyudahkan sepakan penalti pada aksi menentang Brazil.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.