KUALA LUMPUR: Pelumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang disifatkan sebagai juara Malaysia yang sebenar selepas kejayaannya memenangi pingat emas acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia, semalam.
Menurut Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley, pencapaian dilakar pelumba berusia 36 tahun itu adalah sesuatu yang menakjubkan mengambil kira Azizulhasni dibelenggu dengan masalah kesihatan berkaitan jantungnya sebelum ini.
Katanya, dia langsung tidak menyangka kejayaan yang dicapai Azizulhasni itu kerana pada awalnya dia merasakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu tidak mampu untuk berlumba di Adelaide apatah lagi muncul juara.
“Tidak banyak boleh saya perkatakan, ia sesuatu yang menakjubkan. Dia adalah juara Malaysia yang sebenar.
“Beberapa hari lalu saya boleh katakan yang dia tidak berada pada tahap terbaik untuk berlumba, saya sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh melakukannya (muncul juara).
“Kami terpaksa menyusun strategi yang berbeza (disebabkan tahap kesihatan Azizulhasni) dan ia menghasilkan keputusan yang positif,” kata Beasley.
Beasley sebelum ini mendedahkan yang penyertaan Azizulhasni di Adelaide akan dipantau rapi selepas dia perlu mengambil ubat perikarditis – ubatan yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.
Perikarditis adalah keradangan perikardium dan boleh menyebabkan cecair berkumpul di dalam karung perikardium.
Cecair yang berlebihan itu boleh mengakibatkan tamponad kardium dengan menghalang jantung daripada berdegup dengan betul atau menekan pembuluh jantung secara fizikal.
Pada April 2022, Azizulhasni terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.
Azizulhasni mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengatasi dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga pada perlumbaan di Adelaide Super-Drome, semalam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.