Tumpuan :
Sukan

Beasley kecewa kurang dapat kerjasama daripada jurulatih tempatan

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley berasa kecewa kerana kurang mendapat kerjasama daripada jurulatih tempatan berhubung Program Perpindahan Bakat yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Untuk rekod, program itu dilancarkan oleh MSN tahun lalu bertujuan memberi peluang kepada atlet mencuba sukan lain selain mempercepatkan proses pencarian bakat baharu.

Antara sukan yang dipertimbangkan untuk program itu adalah berbasikal, terjun serta olahraga dan ia membabitkan atlet dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN).

Beasley berkata, kurangnya kerjasama daripada jurulatih tempatan itu menyebabkan urusan pencarian bakat baharu dalam sukan berbasikal trek sedikit terganggu.

“Antara masalah yang kami hadapi adalah ada ramai jurulatih yang lebih mementingkan projek mereka sendiri. Sebagai contoh, kami pergi ke Johor sebelum ini untuk menguji 160 atlet yang mendaftar tetapi yang hadir hanya 16 orang.

“Keadaan itu berlaku kerana sebahagian yang lain tidak dibenarkan oleh jurulatih mereka. Ini boleh mengganggu perkembangan sukan, jadi mengapa tidak beri peluang kepada atlet untuk mencuba,” katanya.

Jelas Beasley, barisan kejurulatihan sepatutnya melihat perkara berkenaan dengan gambaran lebih besar kerana ia adalah usaha untuk melahirkan atlet kebangsaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini