Tumpuan :
Sukan

Barcelona nyaris dimalukan Granada

Pemain Granada, Bryan Zaragoza (tengah) meraikan jaringan ke atas Barcelona dalam aksi La Liga di Nuevo Estadio de Los Carmenes, Granada. – Foto: Reuters

GRANADA: Barcelona bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 menentang Granada semalam.

Bryan Zaragoza meletakkan tuan rumah dua gol di depan, namun Lamine Yamal dan Sergi Roberto memastikan juara bertahan itu kekal sebagai satu-satunya pasukan yang belum tewas dalam kempen La Liga musim ini.

Bagaimanapun kelab Catalan itu hilang cengkaman dalam pemburuan kejuaraan La Liga apabila tergelincir ke tangga ketiga dan tiga mata di belakang pendahulu, Real Madrid, serta satu di belakang Girona, yang kedua-duanya menang semalam.

Zaragoza meledak dua kali di babak pertama, membuka jaringan hanya selepas 17 saat – gol terpantas membolosi Barcelona di abad ini.

Yamal kembali merapatkan jurang sebelum rehat, menjadi pemain termuda La Liga menjaringkan gol pada usia 16 tahun 87 hari.

Skuad kendalian Xavi Hernandez menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat apabila pemain gantian, Roberto menemui sasaran, tetapi terlalu suntuk untuk mencari gol kemenangan.

Zaragoza hampir meledak hatrik, tetapi percubaannya tersasar. Joao Felix menanduk masuk gol untuk Barcelona, tetapi tidak dikira kerana Ferran Torres berada di kedudukan ofsaid. – Agensi

Loading...
Terkini