KUALA LUMPUR: Gara-gara anak dilayangkan kad merah, seorang bapa naik berang dan membawa batang besi dan cuba memasuki padang dalam satu kejohanan bola sepak di Kuala Pilah.
Difahamkan kejadian yang berlaku pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) itu, bapa pelajar yang berlagak samseng cuba mencetuskan provokasi dan cuba memasuki padang sambil membawa sebatang objek dipercayai sebatang besi.
Tindakan bapa itu bagaimanapun dihalang pegawai MSSM dan seorang anggota RELA merampas objek yang dibawa.
Anggota RELA kemudian menenangkan bapa berkenaan sebelum dia bersama anaknya berlalu pergi meninggalkan venue perlawanan.
Video yang tular itu turut menyaksikan pertengkaran mulut antara bapa pelajar dengan anggota RELA dan pegawai kejohanan namun keadaan dapat dikawal.
Berdasarkan komen netizen, kebanyakan kurang senang dengan tindakan bapa berkenaan yang dilihat terlebih emosi malah ada yang mahu bapa berkenaan meminta anaknya bermain congkak.
Netizen juga mempertikaikan bagaimana anaknya yang baru bermain dalam liga MSSM namun si bapa sudah besar kepala.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Dr Roslan Hussin, berkata kejohanan bola sepak itu adalah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dengan jadual perlawanan membabitkan beberapa venue di seluruh negara.
Pengadil perlawanan dilantik pihak MSSM dan bukan dalam kalangan guru di negeri ini.
“Pihak sekolah yang menjadi venue perlawanan sudah mengambil tindakan sewajarnya termasuk aspek kawalan keselamatan terutama dalam menghadapi kerenah penyokong di luar padang.“Semua prosedur kawalan keselamatan juga dipatuhi bagi menangani situasi yang berlaku seperti video yang tular,” katanya.
Sementara itu katanya, kejadian berkenaan sudah diselesaikan secara baik dan berharap ia menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa