Oleh: Syakirah Zulkifly
KUALA LUMPUR: Skuad badminton kebangsaan akan menghadapi Kejohanan Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 tanpa khidmat beberapa sandaran utama, termasuk perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.
Tanggungjawab itu bakal digalas Leong Jun Hao yang akan mengetuai sektor perseorangan lelaki bersama Justin Hoh.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, ketiadaan sandaran utama seperti Zii Jia, Goh Sze Fei – Nur Izzudin Rumsani, Pearly Tan – M. Thinaah dan Chen Tang Jie – Toh Ee Wei disebabkan barisan kejurulatihan membuat keputusan untuk mempertaruhkan skuad seimbang yang dibarisi pemain muda dan berpengalaman.
“Gabungan pemain pelapis dan berpengalaman ini sekaligus untuk memberi peluang kepada mereka untuk meraih pengalaman di pentas lebih tinggi. Saya rasa sudah tiba masanya, jika bukan sekarang, bila lagi?” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Manakala sandaran perseorangan wanita diletakkan kepada K. Letshanaa dan Wong Ling Ching.
Cabaran beregu lelaki pula menyaksikan gandingan Man We Chong – Tee Kai Wun dan Yap Roy King – Wan Arif Junaidi mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan.
Selain itu, di bahagian beregu wanita pula, Teoh Mei Xing – Go Pei Kee yang dikekalkan dari skuad edisi lalu akan mengetuai sektor berkenaan bersama Tan Zhing Yi – Cheng Su Hui.
Melengkapkan senarai skuad kebangsaan adalah dua pasangan beregu campuran yang dibarisi Hoo Pang Ron – Cheng Su Yin serta Goh Soon Huat – Shevon Lai yang kembali memperkuatkan pasukan selepas kali terakhir beraksi pada edisi sulung BAMTC lapan tahun lalu.
Bagi edisi keempat kali ini, hanya empat pemain yang dikekalkan dalam skuad edisi lalu di Dubai pada 2023 dan selebihnya adalah muka baharu dan kembali disenaraikan.
Kali ini, Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama bersama Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan pada BAMTC yang akan bermula pada 11 hingga 16 Februari depan di Qingdao, China.
Untuk rekod, Malaysia belum pernah mara ke peringkat separuh akhir selepas terkandas di fasa lapan terbaik pada tiga edisi berturut-turut sejak kejohanan ini diperkenalkan pada tahun 2017.
Juara dan naib juara kumpulan layak ke suku akhir manakala empat pasukan terbaik dalam kejohanan itu akan meraih tiket automatik ke Piala Sudirman 2025 yang dijadual berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei depan.