comscore
Tumpuan :
Sukan

BAM umum 34 pemain senior tahun depan

Foto: BAM

KUALA LUMPUR: Bilangan pemain senior dalam skuad badminton kebangsaan kini tinggal 34 orang berbanding 50 sebelum ini.

Jumlah itu berkurangan selepas melalui proses saringan cukup teliti hasil daripada perbincangan yang dilakukan antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Apa yang melegakan, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih diberi kepercayaan bersama perseorangan lelaki, Ng Tze Yong serta bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao.

“Proses pemilihan yang melibatkan perbincangan terperinci itu bertujuan membina semangat yang kukuh dan skuad kompetitif untuk tahun akan datang.

“Selain Pearly Tan dan M. Thinaah, skuad beregu wanita lain akan menjalani penilaian oleh ketua jurulatih baharu jabatan itu nanti,” kata BAM dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, BAM mengesahkan 13 pemain digugurkan dari skuad senior kebangsaan.

Mereka adalah Anna Cheong Ching Yik, Low Yeen Yuan (beregu wanita), Siti Nurshuhaini Azman, Ung Yi Xing (perseorangan wanita), Chua Kim Sheng, Ong Zhen Yi, Kok Jing Hong, Jan Jireh Lee Zhi Ming (perseorangan lelaki), Rayner Beh Chun Meng, Choi Jian Sheng (beregu lelaki), Jeremy Juan Zhen Liang, Poopathi Velayutham dan Lai Ting Cen (beregu campuran).

“BAM mengiktiraf dedikasi dan sumbangan mereka kepada sukan dan negara. Mereka mewakili Malaysia dengan penuh semangat dan komitmen.

“Persatuan mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti yang diberikan oleh atlet-atlet ini dan mendoakan agar mereka terus berjaya dalam usaha masa hadapan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini