Oleh: Syakirah Zulkifly
KUALA LUMPUR: Persoalan siapakah jurulatih baharu yang akan membimbing perseorangan lelaki dan beregu wanita badminton kebangsaan hanya akan terjawab minggu depan.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, pihaknya terpaksa menangguhkan pengumuman yang sepatutnya minggu ini kepada minggu depan kerana ada beberapa perkara yang perlu dinilai semula.
“Kami masih belum boleh mengumumkan lagi calon yang akan mengemudi sektor perseorangan dalam masa terdekat. Kerana ada beberapa hal yang perlu kami muktamadkan sebelum mengumumkan keputusan itu pada minggu depan,” kata Rexy ketika dihubungi BuletinTV3.
Sebelum ini, Rexy mengumumkan calon jurulatih perseorangan lelaki berada di fasa akhir iaitu sudah 95 peratus mencapai persetujuan, manakala beregu wanita sudah dimuktamadkan.
Spekulasi terarah kepada bekas jurulatih Taufik Hidayat, Mulyo Handoyo dari Indonesia bagi mengisi jawatan jurulatih perseorangan lelaki dan Rosman Razak kembali ke posisi jurulatih beregu wanita.
Ketika ini, Rosman belum memberi sebarang kenyataan susulan masih bersama kem beregu profesional negara yang sedang mengharungi Terbuka Artic di Vantaa, Finland.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.