KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum membuat keputusan muktamad mengenai siapa yang bakal dilantik menggalas tugas selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki dan wanita yang baharu.
Perkembangan itu menyaksikan tiada sebarang pengumuman akan dibuat biarpun Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky pada Selasa lalu memberi bayangan keputusan mengenai perkara berkenaan dijangka diketahui hari ini.
Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam ketika dihubungi, berkata proses pemilihan masih lagi berjalan dan belum ada sebarang keputusan dibuat.
“Proses pemilihan dan penilaian sedang berjalan dan kami akan memaklumkan kepada semua selepas mendapat persetujuan dari semua pihak.
“Buat ketika ini masih belum ada sebarang keputusan dibuat,” katanya.
Jurulatih dari Indonesia, Mulyo Handoyo sebelum ini dilaporkan menjadi pilihan BAM untuk dilantik menggalas tugas selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki dan wanita yang baharu.
Mulyo, 62, terkenal dengan ‘air tangannya’ yang melahirkan legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat sehingga memenangi pingat emas Sukan Olimpik Athens 2004 sebelum menjadi juara dunia setahun kemudian di Anaheim, Amerika Syarikat.
Selain Mulyo, bekas ketua jurulatih Denmark, Kenneth Jonassen yang pernah membimbing juara Olimpik dua kali, Viktor Axelsen turut dikaitkan dengan jawatan itu.
Selasa lalu, Rexy memberitahu bahawa pihaknya sudah berada pada tahap 95 peratus untuk menyelesaikan urusan pelantikan itu dan pengumuman dijangka dibuat hari ini, namun ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu.
Sementara itu bekas jurulatih kebangsaan, Rosman Razak yang ketika ini membimbing beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin difahamkan menjadi pilihan BAM untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih beregu wanita.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.