KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah hadir ke pejabat badan induk tersebut minggu lalu untuk mendapatkan maklumat tertentu berkaitan dakwaan yang tular baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, BAM menjelaskan bahawa pihaknya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan pegawai-pegawai suruhanjaya tersebut telah menjalankan tugas mereka dengan profesional.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan bahawa dakwaan daripada individu yang tidak dikenali telah mencetuskan siasatan berhubung seorang pegawai tertinggi BAM yang dipercayai menerima elaun tambahan tanpa kelulusan lembaga, yang dikhuatiri melanggar undang-undang antirasuah negara.
Selain itu, laporan tersebut turut menyebut bahawa Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, mungkin akan dipanggil untuk memberikan kenyataan berhubung perkara itu.
BAM menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama dalam menyelesaikan sebarang isu yang timbul, demi memastikan integriti badan induk tersebut terus terpelihara. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.