Tumpuan :
Sukan

Bagus untuk satu mata, jika dapat tiga mata menakjubkan – Pan Gon

Pan Gon besama tonggak pertahanan Dion Cools pada sidang media perlawanan Malaysia – Oman di Wisma FAM hari ini. FOTO: Ihsan FAM

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menyifatkan, bagus untuk Harimau Malaya sekiranya dapat meraih sekurang-kurangnya satu mata di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada pertemuan menentang Oman pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 malam esok.

Ia berdasarkan reputasi besar Oman yang berada di ranking 80 dunia, 52 anak tangga di depan Harimau Malaya yang menghuni kedudukan 132.

“Jika dapat satu mata berdepan pasukan ranking 80 dunia, ia bagus kerana kami masih lagi ada baki dua perlawanan. Jika dapat tiga mata (lawan Oman) ia menakjubkan.

“Oman pasukan yang bagus, lebih baik daripada kami dan sudah pasti mereka akan terus bermain secara menyerang. Mereka pasukan di ranking tinggi dan mungkin mahu merebut kedudukan teratas dalam kumpulan.

“Bagi kami, apa yang penting aksi di tempat sendiri dan kami akan memberi tentangan sebaik mungkin. Harap esok kami akan bagi anda perlawanan yang menarik,” katanya ketua jurulatih kelahiran Korea Selatan itu. pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Rekod kemenangan bersih Harimau Malaya dalam kempen kelayakan kali ini musnah di Muscat apabila tewas 0-2 kepada Oman pada Jumaat lalu.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara jatuh ke tangga ketiga Kumpulan D, namun berkongsi enam mata bersama Oman dan Kyrgyzstan yang menghuni dua kedudukan teratas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini