Tumpuan :
Sukan

Bagnaia pecah rekod di litar Sepang, sambar petak utama GP Malaysia

Pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia (depan) beraksi ketika sesi kelayakan MotoGP pada saingan Grand Prix Malaysia PETRONAS 2024 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini. – FOTO: NSTP

SEPANG: Penyandang juara MotoGP dunia, Francesco Bagnaia memecahkan rekod sepusingan baharu di Litar Antarabangsa Sepang sekali gus menyambar petak utama bagi perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia, esok.

Bagnaia yang dikenali sebagai Pecco mencatat satu minit 56.337 saat pada sesi kelayakan yang tentunya bakal memberikan tekanan buat pencabar terdekatnya yang juga pendahulu carta pelumba Jorge Martin dari pasukan Prima Pramac Racing.

Martin ketika ini mendahului 17 mata di depan Bagnaia sebelum perlumbaan pecut petang ini dengan pusingan kemuncak musim di Valencia dibatalkan ketika gelanggang pengganti masih dalam pertimbangan penganjur Dorna.

Bagnaia dari Ducati Lenovo mendominasi sesi latihan semalam dan dalam keadaan lebih panas dan mendung, pelumba berusia 27 tahun itu berjaya melakukan catatan berkenaan untuk memecahkan rekod catatan sepusingan baharu di Litar Antarabangsa Sepang.

Begitupun, situasi penuh dramatik apabila sebelum itu Martin berjaya memecahkan rekod terlebih dahulu sebelum Bagnaia mempamerkan kemampuannya mencatat 1:56.337s pada hujung sesi kelayakan.

“Ia sungguh menakjubkan kerana catatan masa sepusingan dilakukan Jorge sudah luar biasa,” kata Bagnaia.

“Dapat melakukan catatan sepusingan ini adalah sangat penting untuk aspek mental.

“Saya tahu betapa sukarnya apabila anda melakukannya di tahap maksimum dan lawan anda masih tetap laju, jadi ia sangat penting. Saya amat berbangga dengan pasukan kerana kami melakukan satu tugas yang sangat baik.”

Catatan Bagnaia itu lebih baik daripada rekod lama dilakukannya pada sesi kelayakan tahun lalu 1:57.491s.

“Saya fikir (1:56.553s) sudah mencukupi tetapi Bagnaia sangat menakjubkan hari ini,” kata Martin.

“Saya sudah cuba yang terbaik. Saya fikir barisan pertama adalah sasarannya, jadi saya gembira dan perlumbaan pastinya menjadi sengit.

“Kedua-dua kami mempunyai kelajuan yang sangat bagus, jadi adalah penting untuk memahami di mana kami boleh mencari kekuatan kami.”

Melengkapkan barisan pertama perlumbaan adalah pelumba Gresini Racing MotoGP, Alex Marquez yang mencatat masa sepusingan terpantas 1:57.275s.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini