comscore
Tumpuan :
Sukan

Bagi saya masa, belum 18 bulan lagi – Sarjit

Oleh: Syakirah Zulkifly

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh mengakui pencapaian The Speedy Tigers selaku naib juara yang mengakhiri saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di kedudukan tercorot itu sememangnya bukan keputusan yang diharapkan.

Bagaimanapun, pencapaian hambar itu belum meletakkannya dalam keadaan panik kerana beranggapan barisan anak buahnya masih berada di landasan yang tepat dan cuma memerlukan sedikit masa untuk mencapai tahap prestasi diingini.

Ketika dilantik pada awal Mac lalu, pengendali berusia 61 tahun itu pernah memohon tempoh 18 bulan untuk membina satu pasukan yang mantap.

“Jika ditanya kepada saya, pasukan ini semakin baik, cuma keputusan belum menampakkannya. Semua orang tahu kita ada tiga pemain hebat seperti Marhan Jalil, Fitri Saairi dan Faizal Saari.

“Dalam pertandingan ini dapat dilihat pemain seperti Nik Aiman, Shello Silverius dan Syafiq Sumatri bermain dengan baik termasuk pemain muda seperti Faris Harizan. Macam saya cakap pada hari pertama, beri kami 18 bulan sebab anda tidak akan lihat perubahan hanya dalam satu malam,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.

Sarjit berharap semua pihak bersabar dan memberi masa 13 hingga 14 minggu kepada pasukan yang akan memberi tumpuan penuh dalam menjalani latihan fizikal penuh pertama mereka dalam masa terdekat ini.

“Bila tiba masanya, kita lihat apa yang berlaku. Tunggu sahaja dalam 13 hingga 14 minggu ini selepas program latihan fizikal dan kamu lihat (nilai) dari situ. Selepas 13 hingga 14 minggu, saya akan bagi lebih maklumat mengenai pasukan” tambahnya.

Untuk rekod, Sarjit telah mempunyai 24 perlawanan bersama The Speedy Tigers dalam tempoh enam bulan sejak mula mengendali, ia membabitkan tiga kejohanan iaitu di Piala Sultan Azlan Shah, Piala Negara-Negara dan di Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024, minggu lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata pihaknya akan mempertimbang meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk dicapai Sarjit tidak lama lagi.

“Kita akan lakukan apabila tiba masanya. Ia akan dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah akan datang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini