JAKARTA: Beregu lelaki harapan negara Aaron Chia/ Soh Wooi Yik kandas di peringkat suku akhir Masters Indonesia di tangan He Ji Ting/ Zhou Hao Dong dari China.
Selaku wakil pertama negara yang turun bertarung mencari slot ke separuh akhir di Stadium Istora Gelora Bung Karno, Aaron/ Wooi Yik pada mulanya beraksi baik di awal set pertama.
Kedua-duanya kian jauh di pertengahan permainan hinggalah ditinggalkan lawan lalu tumpas 17-21.
Beregu kebangsaan itu yang baharu naik ke ranking dua dunia beberapa hari lalu terus hilang sentuhan dalam set kedua.
Mereka gagal menyaingi aksi agresif Ji Ting/ Hao Dong selain banyak melakukan kesilapan menyebabkan mata memihak lawan.
Beregu China itu menamatkan aksi 21-10 sekaligus mengulangi pencapaian lalu dengan mara ke separuh akhir kedua berturut-turut.