Tumpuan :
Sukan

BADMINTON: Tze Yong, tiga beregu campuran mara ke pusingan kedua Terbuka Australia

Tze Yong dijadual beraksi di Pusingan Kedua yang ketiga berturut-turut di Terbuka Australia esok sejak Terbuka Korea Selatan (20 Julai) dan Terbuka Jepun (27 Julai). Foto: Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM

SYDNEY: Pemain perseorangan kebangsaan, Ng Tze Yong melepasi halangan awal Terbuka Australia hari ini apabila menewaskan Kanta Tsuneyama dari Jepun.

Pemain berusia 23 tahun itu pada mulanya menghadapi tentangan sengit lawan yang menekannya hingga memungut mata ke-18 di set pertama sebelum lega mencapai mata kemenangan 21 terlebih dahulu.

Keyakinannya semakin memuncak di permainan berikutnya menyebabkan Tsuneyama sedikit demi sedikit ditinggalkan hinggalah perlawanan berakhir 21-8 membawa Tze Yong ke pusingan kedua esok berdepan Jonathan Cristie.

Saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 di Quaycentre itu turut menyaksikan kemaraan tiga beregu campuran.

Hoo Pang Ron/ Teoh Mei Xing mengambil masa selama 36 minit menamatkan cabaran Terry Hee/ Jessica Tan dari Singapura dengan catatan 21-15, 21-17.

Gandingan senior Goh Soon Huat/ Shevon Lai pula menyingkirkan Lu Ming Che/ Hung En-Tzu dari Taiwan dalam pertarungan yang berlanjutan sehingga tiga set 21-12, 11-21, 21-13.

Juara Master Orleans dan Terbuka Taiwan Chen Tang Jie/ Toh Ee Wei juga tidak mengecewakan dengan menempah kemaraan pusingan kedua esok.

Mereka beraksi singkat selama 19 minit menewaskan beregu gabungan Lee Jae Sun/ Charis Ho 21-10, 21-4.

Loading...
Terkini