KUALA LUMPUR: Selepas kegagalan tiga pemain perseorangan termasuk perseorangan utama, Lee Zii Jia untuk meneruskan cabaran di Terbuka Korea, harapan kem badminton negara kini hanya terarah kepada Ng Tze Yong.
Tze Yong jelas berada pada prestasi terbaiknya, apabila berjaya menempah tempat di suku akhir, selepas merakam satu lagi kemenangan di pusingan kedua hari ini.
Berdepan pemain yang menyingkirkan Zii Jia, Angus Ng Ka Long, pertarungan sengit disajikan kedua-dua pemain sejak dari awal lagi.
Tze Yong nyata tampil dengan permainan kemas apabila berjaya memenangi set pertama dengan keputusan 21-18.
Bersambung set berikutnya, cabaran terus diberikan Angus untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Namun, Tze Yong tidak membenarkan perkara itu berlaku, sebaliknya terus mengutip mata demi mata sebelum menutup set kedua dengan kemenangan 21-17, menamatkan pertarungan yang berlangsung selama 50 minit itu.
Mara ke suku akhir, lawan lebih sukar menanti Tze Yong bagi perebutan tiket ke peringkat separuh akhir, bakal berdepan pemain pilihan keempat dari Singapura, Loh Kean Yew.
Sementara itu dalam saingan perseorangan wanita, S. Kisona tampil dengan aksi membanggakan walaupun terpaksa akur tersingkir di pusingan kedua selepas tewas kepada pilihan utama kejohanan, Akane Yamaguchi dari Jepun.
Kisona jelas tampil dengan semangat juang tinggi apabila berjaya menguasai set pertama menerusi kemenangan 22-20.
Set kedua, kebangkitan mula dipamer Yamaguchi yang jelas tidak mahu lagi memberi ruang kepada Kisona, menang dengan keputusan 21-14.
Dan set penentuan, penguasaan terus disajikan Yamaguchi yang akhirnya lega, menutup saingan dengan keputusan 21-14 selepas dipaksa bermain sehingga 54 minit menentang Kisona sebelum mengesahkan tempat ke suku akhir.