Tumpuan :
Sukan

BADMINTON: Thailand tamatkan cabaran Malaysia di suku akhir

Yi Xing sedang beraksi (foto:BAM)

KUALA LUMPUR: Segalanya bagai serba tidak menjadi selepas Malaysia yang turun dengan status juara kumpulan C terlepas peluang untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Remaja Asia yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia.

Lebih perit, Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan kepada Thailand menerusi keputusan 0-3, keputusan yang tidak terjangka bilamana persembahan amat baik telah disajikan sepanjang saingan peringkat kumpulan.

Acara beregu campuran membuka tirai aksi peringkat suku akhir antara Malaysia dan juga Thailand dengan skuad negara dibarisi gandingan Low Han Chen dan Ching Jie Yu bermula garang ketika berdepan pasangan Tanakorn Meechai dan Fungfa Korpthammakit.

Namun, Han Chen dan Jie Yu terpaksa melepaskan set pertama selepas mengalami kekalahan 20-22.

Eogene Ewe (foto: BAM)

Cuba bangkit pada set berikutnya, usaha Han Chen dan Jie Yu tetap tidak berhasil menyaksikan Thailand mengutip mata pertama menerusi kemenangan 21-16.

Cabaran Malaysia kemudiannya diteruskan oleh Eogene Ewe yang turun berdepan Wongsup Wongsup-In dalam saingan perseorangan lelaki.

Dan jelas, Eogene bermula cukup baik apabila berjaya memenangi set pertama dengan keputusan 21-17.

Keyakinan Eogene bagaimanapun meleset selepas itu apabila lawannya bangkit pada dua set berikutnya menyaksikan dia terpaksa akur dengan kekalahan 17-21 dan 17-21 dan sekaligus turut menghadiahkan mata kedua kepada Thailand.

Giliran Ung Yi Xing turun dengan misi mesti menang menentang Saranporn Sombutwatthananukool bagi acara perseorangan wanita.

Segalanya bagai serba tidak menjadi buat Yi Xing apabila dia terpaksa melepaskan set pertama dengan kekalahan 15-21.

Usahanya untuk bangkit pada set kedua juga tidak menjadi, dan lebih perit, dia terpaksa menanggung kekalahan 9-21, keputusan yang turut menyaksikan cabaran Malaysia berakhir dengan kekalahan 0-3 kepada Thailand.

Loading...
Terkini