comscore
Tumpuan :
Sukan

Badminton: Skuad negara hampiri suku akhir Kejuaraan Dunia Remaja Berpasukan Campuran

Foto: BAM

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

JIANGXI: Malaysia menepati ramalan melepasi cabaran awal di peringkat kumpulan C Piala Suhandinata apabila merakam kemenangan ketiga dengan menewaskan Estonia.

Pertembungan di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang itu hari ini menyaksikan anak buah Jeffer Rosobin merakam keputusan 110 berbalas 61 dalam pertandingan yang menggunakan format baru serta unik.

Setiap pasukan bermain 10 perlawanan merangkumi dua pemain masing-masing dalam kategori perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Aksi lebih singkat disaksikan apabila angka 11 menjadi mata kemenangan sebelum disambung pemain seterusnya yang mengambil giliran beraksi hinggalah pasukan mencapai mata kemuncak 110 untuk dinobatkan selaku pemenang.

Barisan 10 pemain negara ialah beregu campuran diwakili Datu Anif Isaac Datu Asrah/ Dania Sofea bersama Aaron Tai/ Noraqilah Maisarah.

Foto: BAM

Pemain perseorangan lelaki ialah Kong Zhou Swin dan Sng Wei Ming, Oo Shan Zi dan Ong Xin Yee merupakan perseorangan perempuan, Mohd Faiq Haziq/ Lok Hong Quan dan Khang Khai Zing/ Aaron beregu lelaki serta Dania, Carmen Ting dan Xin Yee bergandingan di beregu perempuan.

Malaysia selesa mendahului carta kumpulan C menerusi catatan tiga mata berbekal kemenangan bersih 30-0 termasuk menewaskan Mongolia dan Norway.

Barisan kali ini berpeluang meneruskan kemaraan dengan meneruskan momentum di perlawanan terakhir menentang Belanda esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini