KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao memastikan slot di pentas akhir Kejuaraan Kebangsaan 2023 apabila menewaskan juara sebanyak dua kali, Lim Chi Wing menerusi aksi straight set 21-15, 21-17 di separuh akhir hari ini.
Bakal membuat perhitungan dengan rakan sepasukan, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar esok di Stadium Juara, Bukit Kiara, Jun Hao menegaskan dirinya boleh memandang rendah keupayaan dimiliki Shaqeem yang turut berada dalam skuad kebangsaan itu.
“Esok perlawanan akhir, jadi saya perlu beri fokus sama seperti aksi-aksi terdahulu. Bertemu Shaqeem, saya yakin dia pasti akan buat yang terbaik dalam perlawanan akhir nanti.”
“Sudah tentu saya perlu bersedia untuk berdepan aksi sukar kerana kami sentiasa berlatih bersama dan tahu gaya permainan masing-masing,” katanya selepas tamat perlawanan menewaskan Chi Wing.
Jun Hao yang juga juara remaja Asia 2017 berkata, kelebihan dari segi kecergasan menjadi faktor kemenangan di peringkat separuh akhir hari ini.
“Saya fikir hari ini (semalam) bermain lebih sabar selain dia (Chi Wing) sudah lama tidak berlatih, jadi ada kekurangan dari segi fizikal. Selain itu, dia juga masih penat disebabkan perlawanan sebelum ini,” tambah pemain berusia 23 tahun itu.
Shaqeem meneruskan kemaraan apabila menumpaskan Chua Kim Sheng dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Pemain kebangsaan itu mengambil masa selama 50 minit menerusi keputusan 21-14, 22-20.