Oleh Saiyed Ismail
SAARBRÜCKEN: Tiga daripada empat wakil negara yang bermain di pusingan pertama Terbuka Hylo di Jerman semalam berjaya mengatasi lawan masing-masing.
Beregu lelaki Tan Wee Kiong/ Tan Kian Meng, beregu campuran Goh Soon Huat/ Shevon Lai, beregu wanita Vivian Hoo/ Lim Chiew Sien menyertai perseorangan lelaki Daren Liew yang akan bertarung di peringkat kedua malam nanti.
Kian Meng/ Wee Kiong mengenepikan Lucas Corvee/ Ronan Labar dari Perancis dalam pertembungan sengit selama 54 minit yang berkesudahan 21-17, 20-22 dan 21-18.
Pasangan senior Soon Huat/ Shevon berjaya mengelak kejutan oleh pemain kebangsaan yang lebih muda Hoo Pang Ron/ Too Ee Wei juga menerusi permainan tiga set 21-11, 12-21 dan 21-17.
Beregu bebas Vivian/ Chiew Sien yang berdepan Simran Singhi/ Ritika Thaker dari India pula menang 21-11, 21-12 untuk melepasi pusingan awal.
Hasrat perseorangan wanita Goh Jin Wei meneruskan langkahan ke pusingan kedua hari ini lebur selepas tidak mampu menyaingi pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong 14-21, 10-21.