comscore
Tumpuan :
Sukan

BADMINTON: Datuk Misbun beri peluang seimbang kepada pemain

KUALA LUMPUR: Peluang seimbang akan diberikan kepada semua pemain remaja kebangsaan pada Kejohanan Badminton Remaja Asia yang akan berlangsung di Yogjakarta, Indonesia kali ini.

Ia selepas prestasi hambar yang ditampilkan pemain-pemain muda negara pada kejohanan remaja dunia di Santander, Sepanyol Oktober tahun lalu.

Itu jaminan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Negara, Datuk Misbun Sidek menjelang saingan yang akan membuka tirai pada 7 hingga 16 Julai itu nanti.

Menurut Datuk Misbun sidek, tidak dinafikan, kesilapan yang berlaku pada Kejohanan Remaja Dunia memberikan input cukup berguna menuju ke Kejohanan Remaja Asia kali ini.

“Sewaktu kejohanan remaja dunia kebanyakan pemain bagi acara berpasukan tak main acara individu, tapi kita pula gunakan Justin Hoh (perseorangan lelaki) untuk bermain kerana kita lawan negara yang lebih kuat dan main banyak pusingan. jadi sewaktu masuk individu, ada pemain yang tak main acara berpasukan (telah) main individu dan kita terperangkap di situ.

“Kali ini kita siapkan pemain supaya mereka lebih bersedia, selain mahu seimbangkan lapisan pemain perseorangan agar mereka boleh bertukar ganti untuk mana-mana pertarungan (acara berpasukan),” katanya.

Pada saingan di Santander tahun lalu, Justin beraksi sebanyak lima kali manakala pemain perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini Azman pula bermain sebanyak empat kali.

Ia turut menyaksikan Malaysia sekadar bergelar naib juara kumpulan dan gagal ke peringkat suku akhir selain menamatkan kempen di tempat ke 9 keseluruhan.

Pada Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta kali ini, Malaysia diundi dalam kumpulan C, akan memulakan kempen menentang Hong Kong sebelum bertemu India dan juga Bangladesh.

Kali terakhir Malaysia bergelar juara acara berpasukan remaja asia 2009 ketika negara menjadi tuan rumah, manakala Leong Jun Hao muncul pemain terakhir menjuarai acara individu pada 2017 di Jakarta, Indonesia.

Loading...
Terkini