Oleh Al Shaiful Nazib Talib
BUKIT KIARA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan secara rasmi pelantikan Nova Widianto selaku jurulatih bahagian beregu campuran kebangsaan.
Nova, 45 tahun telah pun menandatangani kontrak selama 2 tahun bersama BAM dan akan bertugas di bawah Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky.
“Pemain-pemain beregu campuran jelas cukup teruja fengan pelantikan jurulatih berkaliber ini iaitu Nova Widianto untuk membantu mereka.
“Pengetahuan yang dimiliki Nova selain pengalaman luasnya selaku pemain beregu campuran ketika aktif sebagai pemain sangat berharga buat pemain-pemain dalam skuad kebangsaan ketika ini, terutamanya dengan kejohanan bagi kelayakan ke Sukan Olimpik Paris akan bermula awal tahun hadapan,” kata Rexy.
Sebelum beralih ke bidang kejurulatihan, Nova adalah merupakan salah seorang pemain utama Indonesia, bergandingan bersama Liliyana Natsir dalam acara beregu campuran.
Pencapaian memberangsangkan turut diraih Nova bersama Liliyana, bergelar juara dunia sebanyak dua kali iaitu pada 2005 dan 2007 selain meraih pingat perak Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.
Bahagian beregu campuran negara tidak memiliki jurulatih tetap selepas jurulatih sebelum ini, Paulus Firman meninggalkan posisi itu April lalu.
Sementara Nova yang sebelum ini menjadi jurulatih beregu campuran Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) dijangka akan memulakan tugas awal bulan depan.