KUALA LUMPUR: Nasib berbeza dialami dua gandingan beregu lelaki negara pada saingan badminton Terbuka Korea yang berlangsung di Yeosu.
Gandingan utama, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tewas mengejut kepada pasangan ranking ke 34 dunia dari Jepun, Keiichiro Matsui dan Yoshinori Takeuchi pada pertarungan tiga set yang berlangsung di Stadium Jinnam di Yeosu, Korea.
Aksi sengit disajikan sejak dari awal dengan kedua-dua pasangan beregu saling bertukar mata sebelum tuah akhirnya memihak Aaron dan Wooi Yik menerusi kemenangan 21-18 pada set pertama.
Bersambung set berikutnya, kebangkitan berjaya dipamerkan Matsui dan Takeuchi walaupun terus diberikan tentangan, memaksa Aaron dan Wooi Yik melepaskan set kedua dengan keputusan 18-21.
Set penentuan, permainan berhati-hati terus disajikan kedua-dua gandingan dengan kelebihan awal berjaya dilakukan Matsui dan Takeuchi.
Cuba untuk mengejar, kesilapan Wooi Yik ketika melakukan servis memberi mata kemenangan kepada pasangan dari jepun itu menerusi keputusan 21-19.
Sekaligus menamatkan pertarungan yang berlangsung selama 62 minit itu dengan cabaran Aaron dan Wooi Yik turut berakhir di pusingan kedua.
Dalam pada itu, pertemuan sesama sendiri dua beregu lelaki negara menyaksikan gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani berjaya menempah tiket ke peringkat suku akhir selepas menyingkirkan rakan senegara yang juga pilihan keenam kejohanan, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi.
Set pertama berlangsung cukup sengit apabila kedua-dua pasangan mengikat 20 mata untuk bermain mata ‘deuce’.
Dan tuah nyata memihak Sze Fei dan Izzuddin apabila mereka menguasai set pertama menerusi kemenangan 25-23.
Yew Sin-Ee Yi cuba untuk bangkit pada set kedua, namun, permainan kemas yang disajikan gandingan ranking ke 46 dunia itu jelas terus menyukarkan mereka.
Sze Fei dan Izzuddin kemudiannya menutup aksi dengan kemenangan 21-15, untuk menempah tiket ke peringkat suku akhir.
Esok, mereka dijadualkan pilihan utama dari Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto.