KUALA LUMPUR: Tonggak Sabah FC, Baddrol Bakhtiar dijangka menjadi antara calon Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Kedah pada 12 Ogos ini.
Menurut sumber dalaman PN, Baddrol sendiri sudah memberi isyarat bersetuju dengan keputusan itu.
“Betul pemain itu akan bertanding pada PRN atas tiket PN. Surat watikah lantikan akan diberikan pada Isnin ini.
“Berkaitan kawasan yang bakal bertanding akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Khabar angin itu berhubung perkara itu bertiup kencang khususnya di laman media sosial selepas skuad Sabah mengumumkan Baddrol yang juga kapten pasukan itu tidak lagi bersama mereka, semalam.
Namun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada bekas pemain kebangsaan itu.
Difahamkan, Baddrol akan menjelaskan keputusannya itu selepas perlawanan Liga Super berdepan Sri Pahang FC (SPFC) di Stadium Likas, malam ini.
Baddrol 35 tahun pernah membantu skuad B-23 negara memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan Sea pada tahun 2009 dan 2011.
Beliau mula mewakili Kedah pada kejohanan Piala Presiden sebelum diserapkan ke skuad utama bermula musim 2006/2007.