Tumpuan :
Sukan

Azeem perbaharui rekod kebangsaan acara 60 meter

Muhammad Azeem Fahmi catat rekod baharu kebangsaan dalam acara 60 meter semalam. Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mencipta sensasi apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara 60 meter (m) dalam dewan di Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, California, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Azeem, 21, yang mewakili Universiti Auburn mencatat masa 6.60 saat (s) di peringkat separuh akhir, sekali gus mengatasi rekod kebangsaan 6.62s yang dilakukannya pada kejohanan sama dua tahun lalu.

Terdahulu pada aksi saringan, pemegang rekod 100m kebangsaan itu mencatatkan masa 6.62s sebelum memperbaiki catatan berkenaan di separuh akhir.

Dia bagaimanapun tidak turun beraksi di peringkat akhir kejohanan berkenaan.

Selain Azeem, lima lagi peserta turut menarik diri daripada aksi final, dengan pingat emas menjadi milik Adekalu Fakorede dari Universiti Mississippi State, manakala perak dimenangi atlet Universiti Southern California, Travis Williams.

“Selepas dua tahun, kita kembali ke landasan sebenar. Alhamdulillah, rekod kebangsaan,” tulis Azeem di InstaStory miliknya.

Azeem ketika ini dalam misi untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) yang dijangka berlangsung bulan depan.

Untuk layak, dia perlu berada dalam kelompok 16 teratas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini