Tumpuan :
Sukan

Ayuh ke stadium berjuang bersama Harimau Malaya – Hamidin

Hamidin menyaksikan latihan terakhir skuad Harimau Malaya sebelum berdepan Filipina pada separuh akhir Pestabola Merdeka malam esok.-Foto ihsan FAM

Oleh: Abdullah Sani

PETALING JAYA: Apa jua situasi yang berlaku yang tampak menimbulkan suasana agak panas antara penyokong, terutamanya Ultras Malaya dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin tetap menaruh harapan tinggi agar Harimau Malaya tidak ‘bersendirian’ berdepan Filipina pada saingan Pestabola 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Bagi Hamidin, sama ada Ultras Malaya atau mereka yang bergelar penyokong, kehadiran mereka amat diperlukan sebagai pemain ke-12 untuk menyemarakkan semangat Harimau Malaya yang menggalas tugasan sulung di bawah jurulatih Pau Marti Vicente.

“Inilah masanya untuk kita menunjukkan sokongan sejati kepada pasukan atas nama Malaysia, tidak kiralah sama ada Ultras Malaya atau penyokong-penyokong lain,” kata Hamidin ketika dihubungi BuletinTV3.

Jurulatih Pau Marti (kanan) mengharapkan kehadiran penyokong di Bukit Jalil dalam meniti tugasan sulungnya mengendalikan Harimau Malaya.-Foto ihsan FAM

Harimau Malaya akan menentang Filipina pada separuh akhir Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok dan pemenang akan bertemu Lubnan dan Tajikistan untuk aksi final.

Sebagai rekod Tajikistan tampil selaku juara bertahan yang mengalahkan Harimau Malaya 2-0 pada perlawanan akhir tahun lalu.

Hamidin juga melihat laluan yang terbaik buat Harimau Malaya dalam mempertingkatkan prestasi dan kualiti susulan peruntukan RM15 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  kepada skuad kebangsaan untuk pengurusan, latihan dan kebajikan pasukan bola sepak negara

“Sokongan dariapada pemimpin nombor satu negara sememangnya satu suntikan moral yang amat tinggi nilainya, ia akan membuka peluang dan kelebihan buat Harimau Malaya meningkatkan prestasi pada masa akan datang.” katanya.

Justeru dengan sokongan penyokong esok, harapan Hamidin skuad negara mampu mengalahkan Filipina dan kejayaan itu seiring dengan suntikan yang diberikan Perdana Menteri.

“Kita harap kita akan menang, selain menang kita mahu Harimau Malaya menampilkan persembahan yang baik dan yang tinggi kualitinya”, katanya.

Perlawanan separuh akhir Malaysia – Filipina dijadual jam 9 malam esok selepas aksi separuh akhir pertama Lubnan – Tajikistan pada jam 4.30 petang dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Nasinal Bukit Jalil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini