KUALA LUMPUR: Jaguh Olimpik dari Denmark, Viktor Axelsen mengatasi sokongan padu penyokong tuan rumah serta pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia untuk merangkul gelaran kedua Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.
Axelsen, pemain nombor satu dunia mengambil masa 63 minit untuk menewaskan Zii Jia, pemain ranking ke-10 dunia dengan keputusan 21-6, 20-22, 21-23, sekali gus mengulangi pencapaian pada edisi 2018.
“Saya menampil permainan hebat walaupun bukan mudah untuk bermain dengan seluruh Malaysia menentang anda,” kata Axelsen selepas majlis penyampaian hadiah.
Selaku juara, Axelsen membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah US$31,500 (RM148,191) manakala Zii Jia yang terpaksa berpuas hati dengan naib juara US$15,960 (RM75,083).
Sementara itu, Zii Jia berkata bermain 10 perlawanan dalam masa dua minggu di Terbuka Thailand dan Masters Malaysia telah banyak mengajarnya dan membantunya mendapat lebih banyak pendedahan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, yang dijadualkan dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
“Saya masih di landasan untuk mencari prestasi terbaik…perlu terus menilai peningkatan dan masih cuba mencari versi terbaik diri saya. Saya ada tiga lagi kejohanan untuk diuji (sebelum Paris),” katanya.
Kali terakhir wakil perseorangan lelaki negara muncul juara di Masters Malaysia adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2016.
Terdahulu, pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen merangkul kejuaraan beregu lelaki selepas menewaskan Jin Yong-Na Sung Seung dari Korea Selatan 21-18, 21-14 pada aksi final.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.