KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia cemas seketika sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Denmark di Odense, awal pagi tadi.
Turun membuka tirai saingan menentang pemain ranking ke-43 dunia dari Belgium, Julien Caraggi di Arena Jyske Bank, Zii Jia dikejutkan dengan kekalahan set pertama 19-21.
Bagaimanapun, Zii Jia yang masih segar dengan kejayaan muncul juara Terbuka Artik di Finland, Ahad lalu bangkit untuk memenangi set kedua 21-15 sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.
Aksi set penentuan menyaksikan Zii Jia mempamerkan penguasaan untuk menoktahkan kemenangan 21-10 sekali gus mara ke pusingan kedua.
Zii Jia dijadual membuat perhitungan dengan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen untuk perebutan tiket ke suku akhir, malam ini.
Bagaimanapun, Axelsen memberi bayangan pertembungan yang dinanti-nantikan antara kedua-dua pemain itu mungkin tidak menjadi kenyataan selepas dia mengalami kecederaan kaki kiri.
Terdahulu, Axelsen turut melepasi halangan pusingan pertama selepas mengatasi rakan senegara, Magnus Johannesen 21-7, 21-9.
“Ketika ini, saya tidak fikir perlawanan esok (malam ini) akan menjadi kenyataan kerana mengalami kesakitan pada kaki kiri saya. Ia memerlukan keajaiban untuk saya benar-benar bersedia bagi beraksi dalam perlawanan esok,” kata Axelsen kepada Badminton Eropah selepas perlawanan dengan Johannesen.