Tumpuan :
Sukan

Axelsen cedera di kaki kiri, tarik diri dari Jelajah Dunia Akhir BWF

Viktor Axelsen.- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan badminton Denmark, Viktor Axelsen mengesahkan menarik diri daripada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF yang dijadual berlangsung di Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Disember ini susulan kecederaan pada kaki kirinya.

Menerusi ciapan di akaun X hari ini, pemain nombor tiga dunia itu, berkata kecederaan berkenaan memerlukan perhatian segera bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang.

Katanya, keputusan itu dibuat atas nasihat pakar perubatan selepas menjalani pemeriksaan rapi.

“Saya sangat kecewa kerana tidak dapat beraksi dalam kejohanan ini, yang menjadi salah satu kejohanan kegemaran saya. Namun, keutamaan saya kini adalah untuk memastikan pemulihan sepenuhnya sebelum kembali ke gelanggang,” katanya.

Axelsen yang pernah memenangi kejohanan akhir musim itu sebanyak lima kali, menyifatkan keputusan untuk menarik diri sebagai sesuatu yang sukar tetapi perlu demi menjaga kesihatan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan. Ia amat bermakna bagi saya,” katanya.

Jelajah Dunia Akhir BWF adalah kejohanan akhir musim yang menghimpunkan lapan pemain terbaik dalam ranking Jelajah Dunia.

Terdahulu, Axelsen layak secara automatik ke kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$2.5 juta (RM11.17 juta) itu selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.

Dengan penarikan dirinya, tempatnya akan digantikan pemain China, Li Shi Feng yang menduduki ranking kelapan Jelajah Dunia.

Malaysia akan diwakili pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia yang turut layak beraksi di Hangzhou.

Selain itu, pemain Denmark, Anders Antonsen, Shi Yu Qi (China), Chou Tien Chen (Taiwan), Kodai Naraoka (Jepun), Kunlavut Vitidsarn (Thailand) dan Jonatan Christie turut akan beraksi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini