Tumpuan :
Sukan

Atlet pecut negara sapu tempat pertama, kedua, ketiga di Australia

Atlet pecut negara, (dari kiri) Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafia dan Jonathan Nyepa. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan membuktikan betapa dia di landasan tepat dalam misi merampas pingat emas 100 meter (m) di Sukan SEA Kemboja, Mei depan selepas berjaya mengungguli saingan di Kejohanan Siri Shield: Darren Thrupp Shield di Queensland, Australia, semalam.

Lebih manis, dua lagi pelari pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi yang turut akan menggalas cabaran negara dalam acara riben biru di Kemboja dan Jonathan Nyepa melengkapkan kedudukan podium untuk Malaysia di kejohanan berkenaan.

Khairul Hafiz yang muncul juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 memastikan pingat emas menjadi miliknya selepas merakam masa terpantas 10.34 saat (s), catatan peribadi terbaik musim ini diikuti Haiqal yang mengakhiri saingan di tempat kedua dengan catatan 10.41s manakala Jonathan ketiga 10.43s.

Khairul Hafiz yang mempunyai catatan peribadi terbaik 10.18s, berkata pencapaian yang dilakar di Queensland itu disifatkan sebagai tonik tambahan buat dirinya dalam persiapan bagi menghadapi Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.

“Saya tidak sangka mampu membuat catatan peribadi terbaik musim ini iaitu 10.34s sebab baru sampai sini kelmarin. Keadaan badan pun tidak berapa baik dan kepenatan akibat perjalanan jauh ke sini.

“Mungkin semalam itu adalah rezeki kami semua. Bagaimanapun, saya akan cuba memperbaiki catatan masa yang lebih baik selepas ini.

“Ini adalah kejohanan antarabangsa pertama saya. Selepas ini ada beberapa lagi kejohanan luar sebelum kami menyertai Sukan SEA Kemboja nanti,” katanya.

Ditanya mengenai catatan masa yang dilakukan Haiqal dan Jonathan yang mana mereka akan membentuk kuartet 4x100m di Kemboja nanti, Khairul Hafiz optimis mereka mampu sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan di temasya dwitahunan berkenaan.

“Bagi saya tak mustahil untuk kami memecahkan rekod 4×100 m sebab di kejohanan ini semua pelari berjaya lari dalam lingkungan 10.4s. Jadi, tidak mustahil kami akan dapat catatan masa yang terbaik sekali gus memecahkan rekod kebangsaan di Kemboja,” katanya.

Pada Sukan SEA Hanoi tahun lalu, kuartet 4×100 lelaki negara yang ketika itu dibarisi Haiqal, Muhammad Azeem Fahmi, Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail bukan saja berjaya memenangi pingat perak malah turut memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 39.09s sekali gus memperbaiki rekod 39.27s yang dibuat pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Loading...
Terkini