Tumpuan :
Sukan

Atasi kami dahulu, kami boleh bersara – Pandelela

FOTO: Reuters

SEPANG: Dikaitkan faktor usia yang mempengaruhi prestasi sehingga terdengar desakan agar atlet senior sepertinya berundur diri, situasi itu nyata tidak menjejaskan semangat Datuk Pandalela Rinong untuk terus mewakili negara.

Sebaliknya Pandelela melihat, sehingga kini Malaysia masih belum mempunyai kumpulan pelapis yang mampu menyainginya dan membawa cabaran di pentas antarabangsa yang lebih mencabar.

“Bagi kami, hendak bersara boleh, tetapi atlet pelapis kena berjaya menang mengatasi kami, baru mereka ada peluang untuk lawan dengan penerjun luar negara.

“Saya boleh kata untuk acara saya (10 meter (m) platform), jurangnya masih jauh. Sekarang ini saya kena tengok atlet pelapis dahulu, peranan saya sekarang ialah mengisi kekosongan dalam pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Pandelela, 30, berkata atas sebab itu, walaupun gagal untuk menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Kejohanan Akuatik Dunia, Doha baru-baru ini, beliau masih belum berhasrat menamatkan karier sebagai penerjun negara meskipun gagal menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau yang memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016, gagal menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024, setelah terkandas awal dalam acara 10m platform individu wanita dan menamatkan acara 10m platform seirama di tempat ke-12 bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri.

Dalam pada itu, Pandelela berkata program pembangunan sukan terjun perlu diperkuat, bagi mencari kumpulan pelapis yang ‘ampuh’ untuk mewakili negara pada masa depan.

Beliau sebelum ini memberi amaran apabila acara terjun wanita dibatalkan di Sukan Malaysia (Sukma), namun ia seolah-olah tidak diendahkan pihak berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini