KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) sedang giat berusaha memastikan sukan sepak takraw diperkenalkan secara meluas kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) di seluruh dunia.
Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, pihaknya akan menghantar surat cadangan kepada kerajaan bagi memastikan komuniti berkenaan diberikan peluang yang sama rata dalam dunia sukan, selaras dengan usaha menggalakkan penyertaan mereka.
“Walaupun ia bukan tugas mudah, negara-negara yang terbabit sudah menunjukkan keterbukaan untuk melaksanakan perbincangan.
“Memandangkan ASTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mempunyai jumlah ahli yang ramai, kami yakin dapat memastikan perkembangan sukan sepak takraw kepada sebanyak mungkin komuniti OKU di pelbagai negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan perbincangan dengan negara-negara ahli ASTAF dan ISTAF menunjukkan tanda-tanda positif.
Abdul Halim, yang juga Setiausaha Agung ISTAF berkata, pihaknya akan menghubungi Majlis Sukan Paralimpik setiap negara bagi mendapatkan sokongan terhadap pengenalan sukan sepak takraw kepada komuniti berkenaan.
“Saya pasti mereka yang istimewa atau mempunyai kelainan upaya fizikal ini mampu mencipta impak dalam meluaskan jangkauan sukan sepak takraw di peringkat Asia dan antarabangsa.
“Saya juga yakin menjelang 2025/2026, ISTAF boleh melaksanakan acara sepak takraw untuk komuniti ini di pelbagai negara sebagai langkah permulaan. Ini tidak hanya terhad kepada Malaysia bahkan Thailand, Indonesia, Iran, Singapura, India, Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah,” katanya. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.