KUALA LUMPUR: Meskipun Malaysian Tigers dilabel sebagai antara pasukan pilihan bersama Korea Selatan dalam saingan peringkat Kumpulan di Sukan Asia Hangzhou, ketua jurulatih hoki negara, Arul Selvaraj menegaskan anak buahnya perlu menganggap setiap aksi di peringkat kumpulan sebagai final sebelum boleh menuju ke ‘final yang sebenar’.
Justeru, Arul tidak mahu anak buahnya memandang mudah setiap lawan yang akan dihadapi dalam Kumpulan B yang turut menyaksikan kehadiran tuan rumah China, Oman, Thailand dan Indonesia.
“Pendekatan kita adalah melihat setiap perlawanan sebagai final dan walaupun tiga perlawanan pertama nampak mudah di atas kertas, tetapi kita akan bergelut jika tidak bersiap sedia dengan mental dan main untuk menang.
“Kita cuba dapatkan satu, dua, tiga gol dan kita tidak letakkan dalam minda pemain mengenai jumlah jaringan. Kita akan main dengan struktur kita, disiplin, mengawal permainan dan dengan itu, peluang menjaringkan gol akan hadir.
“Tiga perlawanan pertama ini begitu penting sebagai persediaan untuk perlawanan yang seterusnya,” kata Arul.
Sebagai rekod, pasukan hoki lelaki negara mempunyai peluang terbaik untuk meraih pingat emas di Sukan Asia, seterusnya layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Gongshu Canal Sports Park, Malaysia akan membuka kempen berdepan Thailand, Ahad ini, disusuli Oman sebelum menentang Indonesia pada aksi ketiga.
Korea Selatan menjadi lawan berikutnya pada aksi keempat sebelum skuad negara mengakhiri kempen peringkat kumpulan menentang tuan rumah, China.
| ARTIKEL BERKAITAN: