BRIGHTON: Arsenal terikat 1-1 dengan Brighton & Hove Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris dan Mikel Arteta menyalahkan kesilapan mudah sebagai punca pasukannya tercicir mata.
Arsenal kendalian Arteta turut menyaksikan penjaring gol berusia 17 tahun, Ethan Nwaneri cedera dan terpaksa dikeluarkan ketika rehat.
Nwaneri menggantikan Bukayo Saka di sayap kanan dan menjaringkan gol pada minit ke-16, tetapi Arsenal dibolosi menerusi sepakan penalti Joao Pedro untuk sekadar berkongsi mata.
“Berita sangat buruk, kerana saya rasa kami kehilangannya (Nwaneri). Kami terpaksa mengeluarkannya ketika rehat kerana masalah otot,” kata Arteta.
Keputusan seri itu mengekalkan The Gunners di tangga kedua liga, lima mata di belakang Liverpool yang bermain kurang dua perlawanan.
“Di babak kedua, kami tidak menguasai permainan dan mengancam lawan, tetapi daripada segi pertahanan, kami masih bertahan dengan baik.
“Hari ini bukan kerana keletihan, ia kerana perkara mudah yang perlu dilakukan dalam serangan untuk mencipta peluang dan menguasai permainan di kawasan yang betul,” katanya.
Arteta menyifatkan pemberian penalti kepada Brighton kerana pertembungan antara Pedro dan pertahanan Arsenal, William Saliba sebagai pelik.
“Kami sangat kecewa dengan keputusan yang menjurus kepada gol, kerana saya tidak pernah melihat perkara sebegini dalam hidup saya. Dia (Saliba) juga menyentuh bola,” tambahnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.