Tumpuan :
Sukan

Arif-Roy King tamatkan karier Ahsan-Hendra di pusingan kedua Masters Indonesia

Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menewaskan bekas juara dunia tiga kali, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan di pusingan kedua Masters Indonesia, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King memberi penamat duka kepada bekas juara dunia tiga kali, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan selepas menyingkirkan lawan itu di pusingan kedua Masters Indonesia, hari ini.

Arif-Roy King hanya memerlukan 28 minit bagi menewaskan pasangan berpengalaman Indonesia berkenaan dengan kemenangan straight set 21-13, 21-14 pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta.

Kekalahan itu “merosakkan” majlis perpisahan Ahsan-Hendra yang beraksi dalam kejohanan terakhir mereka sebelum menggantung raket secara rasmi selepas ini.

Sebagai rekod, Ahsan-Setiawan dianggap sebagai antara beregu terbaik dunia apabila memenangi pelbagai kejohanan utama, termasuk tiga kali bergelar juara dunia pada edisi 2013, 2015 dan 2019.

Kemenangan Arif-Roy King menyaksikan Malaysia kini sudah menjamin satu tempat di pentas separuh akhir selepas mereka akan membuat perhitungan dengan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada aksi suku akhir, esok.

Terdahulu, Wei Chong-Kai Wun mara ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan Sun Wen Jun-Zhu Yi Jun dari China 21-19, 21-14.

Sementara itu, beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah terus mengekalkan momentum mereka apabila turut melangkah ke suku akhir menerusi kemenangan ke atas gandingan Taiwan, Hu Ling Fang-Jheng Yu Chieh 21-19, 21-16 sekali gus menempah pertemuan dengan Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi perseorangan wanita negara, K Letshanaa yang ditunjukkan jalan di pusingan kedua selepas tewas dalam pertarungan tiga set di tangan wakil Vietnam, Nguyen Thuy Linh 18-21, 21-17, 20-22.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini