Tumpuan :
Sukan

Arif Aiman raih gelaran MVP buat kali kedua berturut-turut

FOTO: MFL

Oleh Fariz Zolkarnain

KUALA LUMPUR: Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi sekali lagi mencipta sensasi apabila dinobat sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat musim kedua berturut-turut pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) yang diadakan secara virtual, sebentar tadi.

Bintang muda berusia 20 tahun itu berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lalu selepas meledak 8 gol dan melakukan 16 bantuan jaringan sepanjang musim bersama JDT.

Beliau menjadi antara tunjang utama kepada kejayaan luar biasa JDT yang melakar sejarah meraih ‘quadruple’ dengan menyapu bersih semua kejuaraan musim ini iaitu Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Selain memenangi MVP, Arif turut mempertahankan dua lagi gelaran iaitu Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

“Pertama sekali saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang sentiasa memberikan peluang berharga kepada pemain-pemain muda seperti saya.

“Tidak dilupakan kepada ketua jurulatih (Hector Bidoglio) dan pegawai-pegawai JDT yang sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk beraksi dalam kesebelasan utama pada musim ini.

“Bagi keluarga saya, terima kasih kerana mendoakan kejayaan saya serta sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada saya.

“Tidak dilupakan kepada penyokong-penyokong JDT yang sentiasa datang ke stadium, berikan sokongan kepada kami dan alhamdulillah musim ini kami banyak menang kejohanan di peringkat domestik.

“Insya Allah tahun depan, saya akan jadi lebih baik berbanding musim ini dan harap peminat setia JDT jangan berhenti menyokong kami,” katanya.

Selain Arif, JDT turut ceria dengan kemenangan Shahrul Saad bagi kategori Pertahanan Terbaik, Afiq Fazail (Pemain Tengah Terbaik) dan Bergson da Silva yang merekodkan 29 gol (Pemain Import Terbaik dan Penjaring Terbanyak Liga Super 2022).

Melengkapkan malam gemilang JDT di ABK22 apabila Harimau Selatan turut memenangi Anugerah Pasukan Terbaik.

Dalam pada itu, kejayaan mara ke pentas akhir Piala FA dan muncul naib juara Liga Super melayakkan Nafuzi Zain sebagai pemenang Anugerah Jurulatih Terbaik.

Turut mencuri tumpuan adalah penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi yang memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik.

Sejarah juga tercipta di ABK22 apabila Anugerah Gol Terbaik Liga Malaysia yang diperkenalkan buat kali pertama menjadi milik pemain Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi.

Sementara itu, PJ City FC berjaya memenangi dua kategori iaitu Anugerah Fair Play dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2022 dengan 10 gol, Darren Lok.

Abu Kamara yang beraksi bersama Kuching City FC muncul Penjaring Terbanyak Liga Premier 2022 dengan 11 gol manakala Nurshamil Abd Ghani (Kelantan FC) berjaya mempertahankan gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier bersama Daryl Sham (JDT II) apabila masing-masing menjaringkan sembilan gol.

Penyokong-penyokong pula mengundi FAN XI dan berikut adalah keputusan undian FAN XI:

JURULATIH: Nafuzi Zain (Terengganu FC)

PENJAGA GOL: Ahmad Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC)

PERTAHANAN KANAN: Azam Azmi Murad (Terengganu FC)

PERTAHANAN TENGAH: Shahrul Saad (Johor Darul Ta’zim) & Shane Lowry (Johor Darul Ta’zim)

PERTAHANAN KIRI: La’Vere Corbin-Ong (Johor Darul Ta’zim)

TENGAH: Leandro Velazquez (Johor Darul Ta’zim), Afiq Fazail (Johor Darul Ta’zim) & Manuel Ott (Terengganu FC)
Zee da Silva (Johor Darul Ta’zim)

Loading...
Terkini