comscore
Tumpuan :
Sukan

Arif Aiman dalam perhatian penyokong Kelab Scotland, Rangers FC

Pemain JDT FC, Arif Aiman melakukan percubaan ketika menentang Ulsan HD FC dalam saingan Liga Juara-juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Nama bintang bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi bukan saja masyhur di rantau Asia bahkan sebenarnya turut mencuri perhatian peminat bola sepak di Eropah.

Terbaharu, kelincahan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menyaksikan namanya menarik perhatian penyokong kelab gergasi Scotland, Rangers FC.

Ramai peminat Rangers FC mahu Arif Aiman yang sudah meledak empat gol dalam kempen ACLE musim ini beraksi untuk kelab itu.

Malah, kelab penyokong Rangers FC yang dikenali sebagai The Rangers Journal turut meminta Ahli Lembaga Pengarah kelab itu, Nils Koppen untuk membawa masuk ‘Mr MVP’ (Pemain Paling Bernilai) di Liga Malaysia itu.

“Arif pemain yang konsisten bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat kelab elit Asia dengan empat gol serta satu bantuan jaringan dalam empat perlawanan.

“Cukup berbahaya di depan gawang sama ada menjaringkan gol atau mencipta peluang.

“Pemain sayap ini cukup lincah dan kerap berdepan pemain pertahanan dengan kadar kejayaan menggelecek 74 peratus yang tinggi musim ini.

“Bersedia untuk cabaran seterusnya dalam kariernya dan boleh menawarkan kontrak pada Januari nanti,” kata The Rangers Journal di laman X sambil memetik nama Koppen.

Untuk rekod, ketika ini Arif Aiman muncul sebagai penyerang paling berbisa mengatasi pemenang lima kali Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo dalam saingan ACLE ketika ini.

Malah, nama Arif Aiman turut mengatasi rakan sekelab Ronaldo di Al Nassr, Sadio Mane serta beberapa lagi pemain ternama dunia seperti Neymar (bersama kelab Al Hilal) dan Roberto Fermino (bersama kelab Al Ahli) yang turut bersaing dalam ACLE.

Ketika ini, dia sudah merekodkan empat gol dengan jaringan terbaharu diraih menentang Ulsan HD di Stadium Sultan Ibrahim Selasa lalu, di mana skuad Harimau Selatan menang 3-0 dengan Arif Aiman meledak satu gol.

Tiga lagi gol dicatatkan ketika menentang kelab China, Shanghai Shenhua dengan meledak satu gol serta dua jaringan lagi raih bertemu Shanghai Port.

Empat gol yang dilakar Arif Aiman setakat ini menyaksikan jauh meninggalkan Ronaldo yang berada di tangga kesembilan dengan dua gol buat Al Nassr.

Untuk rekod, Arif berkongsi kedudukan di tangga kedua selaku penjaring terbanyak berkongsi dengan empat pemain lain iaitu Aleksandar Mitrovic (Al Hilal), Salem Al-Dawsari (Al-Hilal), Soufiane Rahimi (Al-Ain) dan Taisei Miyashiro (Vissel Kobe).

Manakala tangga pertama menjadi milik penyerang Gwangju FC, Jasir Asani yang mendahului carta itu dengan enam gol.

Jika Arif Aiman dapat mengekalkan prestasinya, tidak mustahil dia bakal menjadi buruan kelab-kelab gergasi Asia yang lain selepas ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini