comscore
Tumpuan :
Sukan

Argentina tumbang mengejut 2-1 di Paraguay

Kapten Argentina, Lionel Messi dan Julian Alvarez kelihatan muram selepas tumbang 2-1 di tangan Paraguay pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan di Estadio Defensores del Chaco, Asuncion, pagi tadi. – FOTO: Reuters

ASUNCION: Gol sepakan gunting menakjubkan daripada Antonio Sanabria dan tandukan babak kedua Omar Alderete membantu Paraguay melakar kejutan menundukkan Argentina 2-1 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan pagi tadi.

Argentina mendahului selepas 11 minit apabila hantaran jauh Enzo Fernandez menemui Lautaro Martinez, dengan rembatan kencangnya pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, tetapi akhirnya disahkan selepas semakan VAR.

Paraguay hampir menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian apabila tandukan Gustavo Gomez menerusi sepakan sudut terkena palang.

Tuan rumah pantas mencuba sekali lagi dengan hantaran lintang Gustavo Velazquez menemui Sanabria, yang melakukan sepakan gunting mengagumkan melepasi penjaga gol Emiliano Martinez.

Pelawat yang tergamam gagal mencari rentak dengan kapten Lionel Messi tidak begitu berkesan pada babak pertama yang menyaksikannya hanya melakukan satu percubaan yang tersasar.

Bagaimanapun, dia dua kali dikasari Alderete, namun pengadil Anderson Daroco tidak melayangkannya kad kuning kedua sebelum rehat.

Dua minit selepas rehat, pertahanan Paraguay, Alderete menanduk masuk berikutan sepakan percuma susulan kekasaran dilakukan pemain gantian Leonardo Balerdi ke atas Julio Enciso.

“Saya fikir, secara keseluruhan kami bermain satu perlawanan hebat. Kami menguasai bola. Gol mereka hadir daripada dua kesilapan kami. Kami perlu menangani kekurangan ketika mempertahankan ‘set-pieces’,” kata penyerang Martinez selepas perlawanan kepada TyC sports.

“Gol pada awal babak kedua membuatkan segala-galanya sukar buat kami. Kami perlu mengucapkan tahniah kepada lawan, yang bertahan dengan amat baik,” kata jurulatih Argentina, Lionel Scaloni pada sidang akhbar.

Penyandang juara dunia Argentina mengungguli kedudukan dengan 22 mata daripada 11 perlawanan dan akan melayan kunjungan pasukan tangga kesembilan Peru pagi Rabu ini.

Paraguay di tangga keenam dengan 16 mata, ketinggalan menerusi perbezaan gol di belakang Ecuador yang membenam Bolivia 4-0 pagi tadi. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini