![](https://media.buletintv3.my/2022/12/1cdfdRt2-pp-cms-51.jpg)
PARIS: Juara dunia 2022, Argentina melonjak ke tangga kedua senarai ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) diumumkan hari ini manakala Brazil yang terkandas di suku akhir Qatar 2022 masih terus kekal di persada.
Argentina dikemudi bintang dunia, Lionel Messi yang merangkul kejuaraan Piala Dunia di Doha pada Ahad lalu, meningkat satu anak tangga manakala naib juara, Perancis turun tempat ketiga.
Belgium yang sebelum ini di tangga kedua, jatuh ke tempat keempat.
Aksi final Piala Dunia minggu lalu terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 selepas masa tambahan.
Mengikut peraturan FIFA, jika perlawanan itu dimenangi dalam tempoh 90 minit, pasukan berkenaan akan dapat memintas Brazil di puncak ranking.
Croatia yang menduduki tempat ketiga di Doha melonjak ke tangga ketujuh daripada 12 sebelum ini.
Manakala pasukan ditangga keempat, Maghribi kini berada di tempat ke-11 iaitu tertinggi pernah dikecapi oleh sebuah negara Afrika.
Ranking 10 teratas FIFA:

1. Brazil – 1840.77 mata
2. Argentina – 1838.38
3. Perancis – 1823.39
4. Belgium – 1781.30
5. England – 1774.19
6. Belanda – 1740.92
7. Croatia – 1727.62
8. Itali – 1723.56
9. Portugal – 1702.54
10. Sepanyol – 1692.71