Tumpuan :
Sukan

Apa Perasaan Kamu Kalau Saya Kata Kamu Lanun Bola Sepak?

ALOR SETAR: “Apa perasaan kamu kalau saya kata kamu lanun bola sepak?,” soal Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkata, pelbagai gelaran diberikan kepadanya hanya kerana bertindak mempertahankan sukan bola sepak di negara ini.

Jelasnya, apa yang sebenarnya beliau mahukan adalah sukan bola sepak negara ini mempunyai sistem yang adil kepada setiap pasukan yang bertanding.

“Pemilik kelab JDT (Johor Darul Ta’zim) ini tak boleh orang kata pada dia, dia kata pada orang, apa pun tak apa. Kalau orang kata dia lanun bola sepak apa dia rasa?

“Kata saya badut, pemecah belah. Saya nak kata dia lanun bola sepak, dia nak jawab apa? Apa perasaan kamu kalau saya kata kamu lanun bola sepak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kota Setar di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, yang turut dihadiri EXCO Penerangan negeri, Datuk Wan Romani Wan Salim.

Semalam, pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, meminta pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Daud Bakar agar menasihati Muhammad Sanusi, melalui komen di media sosial peribadinya.

Dalam komen itu, Tunku Ismail turut menggesa Muhammad Sanusi agar dapat menjaga sikap dan menunjukkan keperibadiannya sebagai seorang Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menafikan, menjadi pemecah kepada sukan bola sepak, sebaliknya berjaya menyatukan peminat sukan itu di negara ini.

“Saya bukan pemecah, saya menyatukan peminat bola sepak dalam satu kesatuan bola sepak untuk orang ramai di padang yang sama luas, pemain sama ramai dan pintu gol sama saiz.

“Rasanya pemain tak sama ramai jadi apabila pengadil masuk sebelah (pasukan) sana, jadi pemain (pasukan) dia lebih ramai. Saya mahu pemain sama ramai dan pengadil duduk di tengah mengadili,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini