Oleh: Abdullah Sani
PETALING JAYA: Tersingkirnya Lee Zii Jia pada suku akhir hari ini bermakna tiada lagi kelibat pemain negara di Shenzen, pada Kejohanan Badminton Masters China.
Pada suku akhir, Zii Jia, ranking ke-11 dunia tewas mudah kepada pemain Jepun, Kenta Nisimoto 11-21, 12-21 dalam masa 40 minit.
Rosli Hashim bekas pemain badminton kebangsaan antara yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi kepada Zii Jia.
“Apa sebenarnya masalah dia (Zii Jia), saya sendiri pun tertanya-tanya, kalau dia mengalami kecederaan kenapa tidak menarik diri sahaja,” kata Roslin ketika dihubungi BuletinTV3.
Zii Jia mara ke suku akhir apabila mudah mengenepikan wakil tuan rumah Lu Guang Zu 21-10, 21-12 sekaligus memberi harapan kepada peminat tanah air tiada masalah buat beliau mengatasi Kenta Nishimoto hari ini.
Namun sebaliknya berlaku, persembahan Zii Jia tampak longlai memudahkan Guang Zu menang mudah seterusnya mara ke separuh akhir.
‘Kalau nak kata faktor keletihan, kecergasan, Kenta dipaksa berhempas pulas lebih sejam (1 jam 18 minit) sebelum menewaskan pemain pilihan ke-4 Kunlavut Vitidsarn pada pusingan kedua semalam, tetapi masih boleh beraksi baik menentang Zii Jia,” tambah Roslin.
Kunlavut pemain dari Thailand mendudukki ranking ke-6 dunia berbanding Kenta, ke-13 dunia
Zii Jia menerusi rakaman audio dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF). bagaimanapun berkata, beliau berpuas hati dengan teknik pertahanan yang dilakukan selain mengakui perlu menambah baik bahagian serangannya
“Serangan saya kurang menyengat pada perlawanan hari ini, tapi prestasi saya semakin baik.
“Ini adalah perlawanan terakhir dan saya rasa banyak perkara perlu dilakukan untuk memperbaiki persembahan saya. Saya harap akan lebih konsisten tahun depan,” Zii Jia.
Untuk rekod musim ini, Zii Jia merangkul kejuaraan Terbuka Artik di Vantaa, Finland selain muncul naib juara Terbuka Denmark, Oktober lepas.