![](https://media.buletintv3.my/2023/09/qpTd1Olj-BULETIN-TV3-9.jpg)
KUALA LUMPUR: Mohamad Aniq Kasdan melakar sejarah bagi sukan angkat berat negara, apabila memenangi pingat gangsa kategori 61 kilogram (kg) pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi, malam tadi.
Atlet kelahiran Johor itu berjaya menaiki podium menerusi angkatan terbaiknya seberat 166kg.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu melakukan angkatan 125kg bagi acara snatch untuk mengumpul jumlah keseluruhan 291kg sekali gus memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 61kg.
Ini kali kedua Aniq memenangi pingat pada Kejohanan Dunia selepas meraih perak dalam acara clean & jerk kategori 55kg pada edisi 2021 di Uzbekistan.
Emas dalam acara clean & jerk kali ini dimenangi wakil Amerika Syarikat, Hampton Morris dengan angkatan 168kg.
Manakala Li Fabin dari China meraih pingat perak (167kg).
Menurut Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat kejayaan yang dilakar Aniq sesuatu yang membanggakan buat negara.
“Ia meletakkan Aniq di landasan tepat bagi mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menghuni kedudukan kesembilan keseluruhan selepas tiga kejohanan,” katanya.
Ujar Ayub, berdasarkan kedudukan semasa selepas menyertai tiga kejohanan antarabangsa, Kejohanan Angkat Berat Asia di Jinju, Korea dan Kejohanan IWF Grand Prix di Havana, Cuba dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi (kejohanan wajib kelayakan ke Olimpik), Aniq berada pada kedudukan kesembilan keseluruhan.
“Hanya 10 atlet terbaik setiap kategori (seorang atlet satu negara) Olimpik layak secara automatik untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.