Tumpuan :
Sukan

Andre Buru Emas Ketiga

KUALA LUMPUR: Atlet negara, Andre Anura Anuar mengintai peluang untuk memenangi pingat emas ketiga apabila turun beraksi dalam acara lompat kijang di temasya Sukan Universiti Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022, esok.

Andre, 21, yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata dia optimis mampu merealisasikan matlamat itu memandangkan ia adalah acara kegemarannya.

“Saya akan cuba untuk dapatkan emas (ketiga) dalam acara kegemaran saya iaitu lompat kijang. Sebab sebelum pergi ke temasya ini saya banyak berlatih untuk acara lompat kijang.

“Mungkin kalau ada rezeki, emas ketiga dalam olahraga mampu jadi milik saya esok,” katanya.

Terdahulu, Andre cemerlang apabila memenangi emas dalam acara lompat jauh selepas melakukan lompatan sejauh 7.0 meter (m).

Dia mengatasi atlet Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhammad Aniq Aqil Md Ramli yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan lompatan sejauh 6.88 m manakala Muhammad Sunik Muslimin dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melengkapkan podium dengan catatan 6.82m.

Semalam, Andre meraih emas pertama pada temasya kali ini apabila membantu UPM mengungguli saingan dalam acara 4x100m lelaki.

Dalam pada itu, UPM turut berjaya meraih dua lagi emas menerusi kejayaan Muhammad Aliff Mubarak Ahmad dalam acara 10,000m jalan kaki dan Kamal Farhan A. Rahman yang mengungguli saingan lontar peluru lelaki. – Berita Harian

Loading...
Terkini