Oleh Al Shaiful Nazib Talib
SEPANG : Skuad ragbi kebangsaan berlepas ke Hong Kong awal pagi tadi untuk bertandang ke gelanggang lawan berdepan Hong Kong untuk satu lagi perlawanan Kejuaraan Ragbi Asia, (ARC) 2023.
Walaupun masih baharu kekalahan 3-27 yang dialami ketika menentang Korea di Gombak, misi skuad Bungaraya tetap akan diteruskan.
Menurut jurulatih, Mohd Farid Syazwan Abu Bakar, kesemua 23 pemain yang tersenarai untuk aksi kedua menentang Hong Kong ini, masing-masing cukip teruja untuk memberikan pers3mbahan terbaik.
“Setakat ni yang saya nampak, motivasi pemain masih lagi baik walaupun kita tewas dengan Korea tempoh hari, bagi saya, dorongan pemain untuk mewakili negara menyebabkan motivasi mereka sentiasa dalam keadaan yang baik, jadi saya rasa mereka bersedia untuk bermain dengan Hong Kong Sabtu ini.
“Kecederaan besar tiada, biasanya selepas perlawanan kecederaan ringan biasa terjadi, walaubagaimanapun, pasukan perubatan kami memainkan peranan dengan baik, mereka melakukan rawatan selepas perlawanan kelmarin dan juga meneruskan rawatan sampai ke hari ini dan kita dapat melihat perkembangan yang positif pada pemain yang mengalami kecederaan yang ringan tu.
“Sejak dari awal lagi bila kita mulakan kempen, bila kita buat persiapan, antara yang saya nyatakan untuk tahun ni kita tidak meletakkan apa-apa sasaran kepada pasukan, walaubagaimanapun, kami cuba sebagai satu pasukan untuk jadi lebih kompetitif dekat peringkat Premier pada kejohanan ARC pada tahun ini.
“Saya percaya setiap perlawanan merupakan cabaran berbeza, dan ketika ini kami sebagai satu pasukan, saya rasa kami cuba untuk menyaingi fizikal dan kepantasan pasukan Hong Kong, jadi saya rasa pemain kita, mereka bersedia untuk menyahut cabaran bagi menyaingi kehebatan pasukan Hong Kong dan sekali lagi saya kata keputusan bukan keutamaan, tetapi proses sebagai satu pasukan yang lebih adalah lebih penting kepada kami,” katanya.
Senarai 23 pemain diumumkan jurulatih sebaik pasuka berlepas ke Hong Kong awal pagi tadi.
Dan sekali lagi, skuad Bungaraya kekal menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya untuk menghadapi cabaran getir pasukan Hong Kong yang diketahui akan membariskan pemain naturalisasi.
Berdasarkan rekod empat pertemuan sebelum ini, Malaysia tewas kesemua perlawanan, namun tampil dengan persembahan memukau pada pertemuan pertama ARC 2019 apavila skuad Bungaraya tewas dengan kekalahan tipis 24-30.
Dalam pada itu, situasi skuad Bungaraya sama ada kekal dalm divisyen Premier atau tidak, segalanya bergantung kepada prestasi gergasi utama Asia, Jepun dengan Malaysia berpeluang kekal dalam divisyen sama jika skuad matahari terbit itu layak ke suku akhir Ragbi Piala Dunia dengan skuad negara dijangka akan bermain penentuan playoff dengan juara divisyen 1.
Perlawanan ARC Malaysia menentang Hong Kong akan berlangsung di Hong Kong Football Club jam 5 petang waktu Malaysia 10 Jun nanti.