KUALA LUMPUR: Harimau Malaya mengikat pasukan di ranking 125 dunia, India 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Gachibowli, Hyderabad, lewat malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia yang menghuni ranking 133 dunia menyekat hasrat India untuk menamatkan kemarau kemenangan selama setahun selepas kali terakhir skuad The Blue Tigers meraih kemenangan ketika menewaskan Kuwait 1-0 pada 16 November tahun lalu.
Pada aksi itu, pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente melakukan tujuh perubahan dalam kesebelasan utama berbanding ketika menentang Laos di Bangkok, Khamis lalu.
Ketiadaan bintang muda sensasi Arif Aiman Hanapi menyaksikan Haqimi Azim Rosli menggalas tugas di bahagian sayap kanan manakala Azam Azmi Murad menggantikan tempat Matthew Davies di posisi pertahanan kanan.
Kesilapan penjaga gol India, Gurpreet Singh Sandhu pada minit ke-19 membuka ruang kepada Paulo Josue untuk meledak gol pembukaan buat Harimau Malaya.
Sandhu keluar dari kawasan penalti, namun dia tersilap langkah apabila gagal menanduk bola sepakan Azam yang melantun ke belakang sebelum Josue melakukan larian dan menjaringkan gol.
Bagaimanapun, India yang banyak mengasak selepas itu berjaya menghasilkan jaringan penyamaan selepas Rahul Bheke menanduk masuk bola sepak sudut Brandon Fernandes pada minit ke-39.
Safawi Rasid yang masuk menggantikan Haqimi pada minit ke-63 hampir mencipta sensasi lima minit kemudian, namun sepakan akrobatik yang dilakukannya sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol India.
Peluang terbaik Harimau Malaya hadir pada masa kecederaan, tetapi tandukan Fergus Tierney pula terkena tiang gol sekali gus kedudukan 1-1 kekal hingga wisel penamat.
Ia keputusan seri pertama yang diraih Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa di bawah kendalian Vicente selepas sebelum ini merekodkan tiga kemenangan dan tewas sekali.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.