KUALA LUMPUR: Selepas berjaya memecahkan rekod temasya dan Asia dengan catatan masa 47.60 saat menerusi acara 400 meter T20 di Sukan Para Hangzhou, atlet olahraga negara Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi berazam melakukan kepantasan 46 saat di Sukan Para Olimpik Paris tahun hadapan.
Merealisasikan impian itu, Muhammad Ammar mahu berlatih bersama pelari kebangsaan Umar Osman yang memenangi pingat emas 400 meter Sukan Sea 2023.
Menurutnya, seorang rakan sepelatih yang boleh memberi cabaran amat diperlukan dalam membantunya berlari lebih pantas menjelang Sukan Paralimpik Paris tahun hadapaan.
Jelas Muhammad Ammar, atlet berusia 21 tahun kelahiran Johor, ketika hadir pada Majlis Penyerahan Hadiah Kemenangan Huawei kepada pemenang pingat APG 2022 di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, hari ini, beliau kini berlatih sendirian dan kesempatan berlatih bersama Umar diharap memperbaiki kepantasannya.
Pada persiapan Johor menghadapi Sukan Malaysia, SUKMA lalu, Umar yang juga pemegang rekod 400 meter kebangsaan menerusi catatan 46.09 saat adalah rakan sepelatih Muhammad Ammar dalam kem olahraga.
Sukan Para Hangzhou, catatan 47.60 saat dalam akhir 400 meter T20, membolehkan Muhammad Ammar memadam rekod temasya milik bekas atlet negara, Nasharuddin Mohd dan rekod Asia 47.80 saat yang dilakukan pelari Iran, Milad Ramazani Torkamani.
Sebagai rekod, rekod dunia acara 400 meter T20 adalah 46.86 saat yang dipegang atlet Brazil, Daniel Tavares Martins.