Tumpuan :
Sukan

Amir Daniel raih emas pada Terbuka Asia Hong Kong

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Atlet judo negara Amir Daniel Abdul Majeed merangkul pingat emas pada Terbuka Asia Hong Kong (HK) 2024 di Pusat Sukan Ma On Shan, semalam.

Atlet berusia 20 tahun itu muncul juara kategori bawah 81kg lelaki selepas menewaskan pencabar dari Korea Selatan Kim Sunwoo di peringkat akhir, mengikut keputusan yang diterbitkan dalam laman web rasmi Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF) www.ijf.org.

Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu sebelum ini menyingkirkan dua lagi atlet Korea Selatan – Bae Seongmin dan Lee Myeongseo, masing-masing pada suku akhir dan separuh akhir.

Seorang lagi wakil Malaysia Looi Qi Min terpaksa berpuas hati menduduki tempat ketujuh bersama Balraj Brijbhushan dari India dalam kategori bawah 100kg lelaki.

Atlet berusia 26 tahun itu mulanya tewas kepada Kim Dohun dalam perlawanan kumpulan sebelum tunduk dalam saingan repechage menentang Axel Nightingale dari Australia.

Seramai 129 atlet mewakili 13 negara dari Asia, Oceania dan Pan Amerika bertanding dalam kejohanan dua hari itu yang berakhir semalam, kata IJF. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini