Tumpuan :
Sukan

Amarjit dipilih sebagai Presiden ACC

Datuk Amarjit Singh Gill kini memegang jawatan sebagai Presiden ACC. – FOTO: PKBM

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill dipilih sebagai Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dalam satu pemilihan di Bangkok, hari ini.

Amarjit menewaskan calon dari Indonesia, Raja Sapta Oktohari yang juga Presiden Majlis Olimpik Indonesia (MOI) dengan keputusan 24-17 sekali gus melakar sejarah unik mengulangi pencapaian bapanya, Tan Sri Darshan Singh yang pernah menyandang jawatan Presiden ACC dari 1996 hingga 2005.

Sebelum ini, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) muncul Presiden PKBM pada pemilihan yang diadakan Oktober lalu.

Amarjit ketika dihubungi di Bangkok berkata, adalah menjadi satu penghormatan terbesar kepada beliau apabila perwakilan memberi kepercayaan kepadanya untuk mengetuai badan berbasikal Asia itu.

“Saya sangat terharu dengan amanah diberikan semua perwakilan yang memilih saya sebagai presiden baharu ACC. la satu penghormatan yang besar.

“Kemenangan ini sangat bermakna kepada Malaysia kerana ibu pejabat ACC akan kembali ke Malaysia.

“Saya menerima tanggungjawab ini dengan penuh rendah diri dan saya sedia maklum semua perwakilan mempunyai harapan besar ke atas saya untuk membawa perubahan besar di Asia.

“Saya tidak akan menghampakan semua negara di Asia dan akan bekerja untuk memastikan Agenda OneAsia yang saya bawakan akan menjadi realisasi,” katanya.

Jawatan Presiden ACC bertukar tangan apabila penyandangnya, Osama Ahmed Abdullah Al Shafar daripada UAE tidak bertanding selepas dua penggal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini